Followers

Saturday, January 30, 2010

KENANGAN SEMALAM

"Sayang tak faham kenapa abang perlu bersikap begini? Sedangkan abang mengaku sudah tidak menyimpan apa-apa perasaan padanya. Tidak sepatutnya abang terus memendam perasaan sehingga mengabaikan perasaan sayang",luah Syasya dalam sendunya. Amir terus membisukan diri. Pandangan terus difokuskan ke kaca televisyen. Walaupun fikirannya telah jauh terbang nun ke Selatan Thailand seteru dengan berita yang sedang menyiarkan berita tentang pergolakan yang berlaku di sana. Memang di akui sejak akhir2 ini dia seoalah-olah sudah kehilangan suara. Barangkali juga sudah terlupa bagaimana untuk berbicara. Masanya banyak dihabiskan dengan bermenung. Bukan dia sengaja mahu menyakiti hati isterinya yang telah di nikahi hampir 7 tahun. Namun kehadiran bekas tunangnya sebagai jiran baru mereka benar-benar menganggu emosinya. Suatu waktu dahulu dia telah menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk seorang gadis kacukan cina bernama Irene Mashitah. Hubungan mereka sehingga ke peringkat tidak mampu lagi dipisahkan. Walaupun Mashitah bukanlah gadis pujaan di kolej, namun cintanya pada gadis itu melebihi segalanya. Mashitah hanya seorang gadis biasa, bermata sepet, putih dan sentiasa berpenampilan ringkas. Namun, ketulusan hati gadis itu telah menawan bukan sahaja hatinya malah seluruh ahli keluarganya. Mashitah seorang yang peramah dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja walhal orang itu baru pertama kali berjumpa. Hubungan yang bermula pada hari pertama pendaftaran mereka sebagai pelajar kolej, kemudian masih utuh bersama biarpun masing-masing telah menjawat jawatan penting di dalam firma masing-masing. Setelah hampir 6 tahun menyulam cinta bersama, akhirnya mereka bersepakat untuk meneruskannya dengan ikatan pertunangan kemudian diakhirkan dengan ikatan suci suami isteri.

Majlis pertunangan yang diatur berjalan lancar dan meriah walau cuma dihadiri oleh sanak saudara terdekat sahaja. Mereka semakin bahagia bersama. Namun entah dimana kesilapannya, hubungan yang telah lama bertahan akhirnya goyah juga. 3 bulan usia pertunangan mereka, Mashitah mendesak untuk di percepatkan tarikh perkahwinan mereka. Alasannya adalah permintaan kedua orang tuanya. Alasan itu langsung tidak munasabah di pundak fikiran Amir kerana mengikut perjanjian mereka sewaktu majlis pertunangan dahulu, kedua-dua keluarga telah bersepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan selepas tempoh setahun pertunangan mereka. Walaupun dia sememangnya telah bersedia untuk menerima Mashitah sebagai isterinya, namun dia masih belum cukup bersedia dari segi kewangan. Masakan dia mahu meminta dari kedua orang tuanya sedangkan dia yang mahu berkahwin. Lagipun telah bermacam perancangan di atur sebelum dia melangkah ke alam perkahwinan. Dia tidak mahu menjadi suami dalam keadaan kelam kabut. Dan sudah pasti keluarganya jugak tidak bersetuju jika majlis pernikahan dilakukan dalam keadaan terdesak. Seolah-olah sesuatu telah berlaku antara mereka. Sedangkan dia yakin semua itu adalah mustahil kerana sepanjang hubungan mereka, belum pernah sekalipun teman itu di nodainya. Hampir setiap hari Mashitah mendesak supaya di percepatkan majlis perkahwinan mereka. Sehingga satu tahap, dia hilang pertimbangan lantas mengucapkan suatu kata yang barangkali menghiris hati tunangannya.
"Kalau Ita rasa nak cepat sangat kahwin, Ita pergi lah cari orang lain. Bukan niat Am untuk membenci Ita, tapi Am masih belum bersedia untuk berkahwin dalam masa terdekat. Lagipun kan kita dah bincang tentang perancangan kita sebelum berkahwin. Mustahil sekejapan Ita dah lupa pada perbincangan kita dahulu? Kenapa sekarang, tiba-tiba Ita mendesak Am?",ujarnya sedikit tertekan. Mashitah hanya membisu. Lama keadaan bisu itu berlangsung, sehingga Mashitah akhirnya mencabut cincin pertunangan mereka lalu di serahkan ke dalam genggaman Amir. Amir yang terkejut dengan tindakan drastik Mashitah enggan menerima cincin pertunangan mereka. Namun Mashitah lebih pantas dengan memasukkan cincin itu ke dalam poket seluarnya. Kemudian gadis itu terus berlalu meninggalkannya dengan menaiki teksi yang kebetulan lalu di kawasan perjumpaan mereka. Dia ditinggalkan termangu sendirian.

Seminggu selepas insiden tersebut, dia cuba mencari Mashitah. Namun dia gagal. Gadis itu telah berhenti kerja dan berpindah rumah. Bila dia ke rumah orang tua Mashitah untuk meminta penjelasan, ibu bapa Mashitah menasihatinya supaya melupakan anak mereka.

"Anggaplah tiada jodoh antara kamu berdua",. Itulah luahan ibubapa Mashitah. Dia benar-benar keliru. Mengapa dia perlu menghadapi situasi itu.

Berbulan lamanya dia mengambil masa untuk memulihkan dirinya. Sehinggalah dia bertemu dengan Syasya yang baru sebulan berkerja di syarikat yang sama dengannya. 3 bulan perkenalan mereka, dia memberanikan diri untuk melamar Syasya. Gadis berkulit sawo matang itu menarik perhatiannya kerana dia seorang yang sangat penyayang dan memahami. Dia sedar hubungan mereka masih terlalu baru. Namun, hanya dengan cara itu dia dapat mengubati keluakaannya. Persetujuan yang diberikan oleh Syasya untuk menerima lamarannya, benar-benar memberikan satu sinar baru dalam hidupnya. Setahun mengikat tali pertunangan, akhirnya mereka di satukan. Syasya telah bunting pelamin. 10 bulan usia perkahwinan, mereka telah dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel. Dia benar-benar bahagia dengan kurniaan Tuhan padanya. Walaupun hatinya telah di robek dan dihancurkan sehinggakan tiada ruang untuknya pulih, namun pertemuan dengan Syasya telah mengubah seluruh jalan ceritanya. Dia bahagia memiliki Syasya sebagai isteri. Wanita itu cukup memahaminya malah sering memberi perangsang untuknya terus berjaya di dalam hidupnya. Wanita itu sentiasa menyokong setiap perancangannya. Walaupun perjalanan hidup mereka setelah berkahwin banyak liku-liku, namun Syasya tetap teguh menyokong dirinya. Sehingga hari ini seusia anak mereka 6 tahun, Amir telah bangkit dari kisah dukanya. Kini dia mampu berbangga dengan pencapaiannya sendiri. Perniagaan yang dimulakan dengan modal permulaan yang terlalu minima telah membuahkan hasil yang agak memberansangkan. Dia bersyukur dengan kurniaan dan rezeki Tuhan pada mereka sekeluarga.

Namun kebahagiaan mereka seakan tergugat dengan kehadiran jiran baru mereka. Pada permulaannya, segalanya berjalan seperti biasa sehingga suatu hari dia terserempak dengan isteri jiran barunya. Irene Mashitah! Kenapa wanita itu perlu hadir di saat dia sedang menyulam bahagia bersama keluarga barunya. Memang mereka masing-masing telah mempunyai keluarga sendiri, namun kehadiran wanita itu sedikit sebanyak telah juga menganggu emosinya. Dan sejak itu, dia semakin dingin pada keluarganya. Entah mengapa masanya banyak di habiskan dengan bermenung. Sesekali terserempak dengan Mashitah, hatinya seolah-olah kembali berbunga. Walaupun dia tahu, situasi mereka kini berbeza. Namun cintanya terhadap wanita itu seolah-olah tidak pernah pudar. Apatah lagi pada pandangannya mata Mashitah juga seolah-olah menunjukkan sinar yang sama. Dia lupa pada keluarganya. Dia lupa pada isteri yang telah berkorban seluruh hidup padanya. Mengapa dia terlalu tegar memikirkan wanita lain sedang dia bersama isterinya? Wajah Mashitah sering bergentayangan di ruang mata. Hidupnya benar-benar dibayangi Mashitah.

Seminggu berlalu, dia merasakan dirinya semakin sarat merindui Mashitah. Angaunya semakin menjadi-jadi. Bukan dia sengaja untuk menyakiti hati isterinya. Namun dia tidak berdaya membuang jauh wajah perempuan yang pernah menghancurkan hidupnya. Hubungannya dengan Syasya semakin dingin. Mereka jarang sekali berbual mesra seperti selalu. Namun begitu, isterinya masih taat menjaga kepentingannya. Setiap pagi masih ada lagi sarapan di atas meja. Begitu juga makan malam. Biarpun adakalanya dia tidak langsung menjamah masakan isterinya kerana terlalu taksub melayan lamunannya, isterinya tidak langsung memboikotnya. Malah masih setia memberi layanan yang terbaik buatnya. Setiap pagi dia akan tergesa-gesa keluar agar sentiasa terserempak dengan Mashitah. Adakalanya sehingga tidak sempat menjamah sarapan yang di sediakan oleh Syasya. Biarpun antaranya dengan Mashitah tidak pernah bertegur sapa, namun baginya sekadar bertukar senyuman pun sudah memadai buatnya.

Suatu hari sewaktu pulang dari pejabat, dia mendapati isterinya tiada di rumah. Mungkin isterinya sedang keluar membeli barangan keperluan dapur. Dia terus membersihkan diri dan menunaikan solat asar. Sewaktu turun ke ruang tamu, dia sempat mengerling jam di dinding. Tepat jam 6.30 petang. Dia mulai gelisah. Kelibat isterinya masih tidak kelihatan. Dia mula meninjau keluar halaman rumahnya. Kebetulan dia melihat kereta yang di pandu Mashitah memasuki perkarangan rumah. Dia bergegas keluar ke halaman rumah agar terserempak dengan Mashitah. Dia berpura-pura menyiram pokok bunga agar tidak dapat di kesan niat sebenarnya. Mashitah yang sedar kehadiran Amir, terus sahaja mengambil peluang itu untuk berbual dengan bekas tunangnya.

"Hi..siram pokok ke?",ujar Mashitah memulakan bicara.
"Erm..baru balik kerja ke?",balas Amir. Kemudia kedua-dua mereka tertawa. Masakan tidak, masing-masing bertanyakan soalan yang tidak sepatutnya, kerana tanpa bertanya pun, pasti sudah di ketahui jawapannya.
Kemudian mereka terus berbual bertukar-tukar cerita. Sehingga azan Maghrib berkumandang, bayang Syasya masih tidak kelihatan. Kerana terlalu asyik berbual dengan Mashitah, sehingga dia terlupa tentang anak dan isterinya. Apabila menyedari waktu Maghrib sudah hampir melabuhkan tirainya, Mashitah meminta izin untuk menunaikan solat. Sebelum itu, mereka telah berjanji untuk keluar makan tengahari esok.
Amir terus menunaikan solat Maghrib kerana di khuatiri dia akan terlepas waktu. Selesai menunaikan solat, dia mencapai telefon bimbitnya. Niatnya untuk menghubungi Syasya terbantut apabila mendapati ada 10 panggilan tidak berjawab. Apabila di teliti nombor di skrin, dia tidak dapat mengecam nombor pemanggil. Memikirkan panggilan itu sudah pasti penting, dia membalas panggilan tersebut. Setelah beberapa deringan, dia mendengar suara garau seseorang menyambut panggilannya. Amir memperkenalkan diri dan bertanya atas urusan apa dia di cari oleh si pemanggil tersebut. Bagaikan mahu luluh jantungnya tatkala mendapat perkhabaran bahawa isteri dan anaknya telah terlibat kemalangan pada petang tadi. Mungkin sewaktu dia sedang seronok berbual mesra dengan bekas tunangnya, sedang isterinya pula sedang sengsara menanggung kesakitan.
Setelah mendapat pengesahan tentang hospital tempat isteri dan anaknya di rawat, dia terus memandu ke hospital tersebut. Sampai sahaja di wad kecemasan, dia terus ke kaunter pertanyaan. Apabila mendapati isteri dan anaknya memang sah di rawat di sini, Amir terus mencari doktor dan pegawai bertugas untuk bertanyakan tentang keadaan anak dan isterinya. Sekali lagi dia terjelepok. Keadaan anaknya tidak stabil dan masih dalam keadaan koma manakala isterinya telah dijemput Illahi. Dia meraung. Hari ini airmata lelakinya tumpah juga. Terbayang segala kenangan manis mereka bersama. Terbayang juga di saat-saat akhir kehidupan isterinya, dia alpa untuk memberi kasih sayang yang sewajarnya. Dia taksub dengan kisah silamnya. Dia telah mengabaikan perasaan Syasya selama ini. Mengapa dia terlalu kejam hanya kerana seorang wanita yang telah berjaya merobek lumat hatinya, sehingga tegar mengabaikan isteri yang sanggup berkorban untuknya? Perasaan kesalnya bertubi-tubi singgah di htinya. Kali ini dugaan yang diterimanya lebih hebat daripada dia di tinggalkan bekas tunangannya. Malah dugaan kali ini lebih di kesali kerana sikapnya terhadap isterinya dihari-hari terakhir isterinya.
Selesai urusan pengebumian, dia kembali kerumah mereka. Sanak saudara masih ramai di rumah. Dia terus menuju ke bilik peraduan mereka untuk bertukar baju. Dia perlu ke hospital untuk menjaga anaknya yang kini telah stabil dan di masukkan ke wad biada. Sejak semalam dia tidak mampu melelapkan mata. Terbayang segala kenangan mereka sejak hari pertama mereka menghuni rumah itu. Airmatanya tumpah lagi. Sungguh hebat dugaan kali ini sehingga sudah berkali-kali dia menumpahkan air mata lelakinya. Selesai menukar baju, dia menuju ke meja kerjanya. Dia perlu mengambil kertas kerja yang tidak sempat di semak, untuk di berikan kepada pembantunya. Mungkin dia terpaksa meminta jasa baik pembantunya untuk menggantikan tempatnya sebagai pembentangl. Dalam keadaannya kini, dia tidak mampu untuk membuat pembetangan dengan baik. Dia yakin itu. Apabila beg kerja di angkat, dia baru menyedari ada seupucuk surat di bawah beg tersebut. Surat itu di tujukan buatnya. Dia yakin ditulis oleh isterinya berdasarkan tulisan tangan tersebut. Terketar-ketar dia mengeluarkan isi surat itu dari sampulnya.
Assalammualaikum abang,
Pertama sekali sayang ingin memohon ampun dan maaf dari abang kerana keluar rumah tanpa izin abang. Sayang tahu sayang berdosa, tapi sayang harap abang redhakanlah pemergian sayang. Sayang ingin mencari ketenangan sendiri. Sejak akhir-akhir ini sayang rasa keadaan abang semakin teruk. Sehinggakan sayang di depan mata pun, abang boleh termenung memikirkan orang lain. Sayang punya hati dan perasaan. Sayang terasa dengan sikap abang. Namun sayang tidak mahu menunjukkannya dihadapan abang. Sayang berlagak seperti tiada apa yang berlaku, sedang di dalam hati ini hanya Allah s.w.t yang tahu betapa perit dan seksa yang sayang tanggung.
Abang,
Selama ini kurangkan kasih dan cinta sayang terhadap abang? Sehingga abang tegar memikirkan perempuan lain selain sayang? Perempuan yang telah menghancur lumatkan hati abang sentiasa bermain di fikiran abang, sedang sayang abang anggap tidak pernah wujud. Di manakan kedudukan sayang, abang? Sayang ingin menjadi yang pertama dan sentiasa menjadi juara di hatimu. Tapi kini, sayang dapat rasakan sayang bukanlah yang pertama di hati abang.
Abang,
Pemergian sayang ini mungkin lama. Mungkin juga kita tidak lagi bersama. Seandainya itu terjadi, janganlah abang menyimpan dendam dihati kepada sayang. Sayang cintakan abang sepenuh jiwa dan raga. Sejujurnya, semenjak sayang sudi menerima lamaran abang, sayang telah serahkan seluruh hati dan perasan untuk abang. Tiada lagi sesiapa selain abang yang berhak ke atas sayang.
Abang,
Akhir sekali, sayang ingin meminta ampun dan maaf di atas semua kesalahan sayang sejak hari pertama abang menikahi sayang. Sayang harap abang halalkan makan dan minum sayang selama ini. Sayang dapat merasakan kita mungkin tidak lagi berpeluang bertemu. Sayang akan serahkan penjagaan anak kepada emak sayang untuk sementara waktu. Itu adalah lebih baik. Abang boleh menumpukan sepenuh perhatian pada kerja abang. Sayang akan pergi jauh meninggalkan abang di sini. Sayang harap abang redhakan sayang. Bukan sayang pergi kerana ada orang lain, tapi sayang terpaksa. Sayang terseksa, abang. Cinta dan kasih sayang hanya untuk abang.
Salam akhir,
Sayang
Dia terpana. Airmatanya berderai lagi. Pemergian Syasya seolah di rancang. Dia tahu sejak dilahirkan, ajal kita telah ditentukan. Tapi Syasya seperti tahu yang dia akan meninggalkan dunia ini. Kesalnya datang bertimpa-timpa. Masa tidak mampu di putar kembali. Syasya telah pergi jauh meninggalkannya. Ya, dia harus meredhakan isterinya. Semoga kau tenang di sana, sayang. Abang redhakan pemergianmu walaupun abang tahu dan sedar terlalu pahit hakikat yang abang harus tempuhi ini. Namun, kerana kasih dan sayang abang padamu, abang meredhai mu. Abang juga ingin meminta ampun dan maaf kerana mengabaikan dirimu selama ini. Ampuni abang, sayang.... Rintihnya dalam sendu. Dia dibayangi kekesalan yang menggunung. Biarlah dia menebus segala kesalahan dengan menyerahkan seluruh kasih sayangnya buat satu-satunya harta peninggalan isterinya. Dia telah menutup hatinya buat wanita lain agar kasih sayangnya terhadap Ayu Mardiha tidak berbelah bahagi. Daddy akan jadi ayah terbaik buatmu, puteriku. Dia bergegas ke hospital, kerana dia tahu ada seseorang yang masih menantinya di sana.

No comments:

Post a Comment